LARUT, 22 Okt – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu bimbang atau takut dengan dakwaan bahawa ahli mereka terlibat dalam kegiatan operasi Mossad di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan negara, parti itu sama sekali tidak akan dipersalahkan.

Menurutnya, isu membabitkan kewujudan agensi pengintipan rejim haram Israel itu adalah perkara yang berkaitan keselamatan negara dan parti politik tidak wajar dipersalahkan sekiranya ada kalangan ahli terlibat.

“Kalau dia jadi ahli PKR pun apa salahnya. Pada saya bukan salah parti sebab parti pun tidak tahu yang orang itu perangai macam mana.

“Apabila seseorang ahli itu mendaftar, kita hanya lihat kepada IC (MyKad) sahaja, bukan semak satu per satu secara terperinci latar belakang orang itu.

“Jadi pada PKR, tak payah takutlah, saya tak menyalahkan PKR tentang mereka yang jadi ejen ini. Tak perlu kita politikkan kerana yang penting ada rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan Mossad. Itu yang harus kita sama-sama bertanggungjawab dan yang sepatutnya kita maklumkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 300 komuniti India di Kampung Ulu Sepetang dekat Batu Kurau di sini pada Sabtu.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, buat masa ini, polis tidak boleh mendedahkan sebarang risikan dan strategi yang diguna pakai dalam kes tersebut meskipun terdapat desakan daripada beberapa pemimpin parti politik untuk berbuat demikian.

Katanya, pendedahan secara umum termasuk kemungkinan tangkapan ejen lain yang terlibat boleh merencatkan dan menyebabkan kegagalan kepada operasi yang dilaksanakan.

“Polis telah menyelesaikan masalah ini tidak sampai pun 48 jam, jadi apa lagi yang harus kita persoalkan.

“Seeloknya jangan kita tanyakan isu-isu yang sebenarnya dalam strategi polis. Apabila kita lakukan risikan, kita tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan mereka lari, sebab polis ni kerjanya, kadang-kadang kita tak sedarpun mereka berada di seluruh negara,” katanya.

Tular di media sosial dakwaan bahawa pasangan suami isteri yang ditahan selepas didakwa mempunyai hubungan dengan Mossad merupakan anggota PKR serta ada kaitan dengan parti.

Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyatakan dua individu itu bukan anggota mana-mana Cabang PKR dan tiada kaitan dengan parti.

Sebuah akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, ejen perisikan Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin dipercayai merupakan aset Briged Hamas al-Qassam.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.

Dipercayai mereka yang berusia 30 tahun itu dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis oleh ejen Mossad sekitar 2018, disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di negara ini.