KUALA LUMPUR, 22 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata dirinya sedia mempertahankan kerusi itu jika dicalonkan semula oleh BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Walaupun mengakui keputusan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan ADUN Telemong Datuk Rozi Mamat bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu memberi cabaran kepadanya, Rosol berkata berdasarkan “mood” rakyat di kawasan itu ketika ini, beliau mampu mengekalkan kerusi itu kepada BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin ada saingan, tapi ADUN Telemong ini anak murid saya, saya pernah mengajar dia.

“Jadi, tiada masalah untuk saya pertahan Hulu Terengganu jika dicalonkan semula, malah anak muda sekarang ini sudah matang dalam politik. Jadi insya-Allah Hulu Terengganu kita dapat pertahankan kali ini melalui BERSATU dalam PN,” katanya, lapor FMT.

Katanya, BERSATU Hulu Terengganu juga sedia menghadapi PRU-15 dan kerjasama dengan PAS cukup baik termasuk dalam melakukan gerak kerja bagi memastikan kemenangan.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, BERSATU Terengganu menyasarkan dua kerusi Parlimen dan 10 DUN yang dimenangi Umno dalam pilihan raya lalu.