KOTA BHARU, 22 Okt – Perikatan Nasional (PN) berjanji akan membayar royalti minyak kepada Kelantan sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata segala yang menjadi hak kerajaan Kelantan akan dibayar sepenuhnya.

“Waktu pentadbiran PN kita tidak ragu. Janji kita adalah apa yang menjadi hak Kelantan seperti royalti, kita akan bagi sepenuhnya.

“Itu janji kita yang kita akan laksanakan sekiranya kita menang di Kelantan dan PN dapat mentadbir negara. Malah, pada 2020 hingga 2021, kita sudah serahkan bayaran royalti kepada Kelantan sebanyak RM400 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam, malam tadi. Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PN juga berjanji akan menguruskan masalah rakyat dengan sebaik mungkin sekiranya dapat menerajui negara selepas PRU nanti.

“Sekiranya PN menang dan mentadbir negara, perkara pertama saya akan buat dalam jemaah menteri adalah kita akan bincang bagaimana kerajaan nak menguruskan masalah rakyat.

“Kita mesti bersikap amanah dan akan menggalas tanggungjawab dengan baik. Rakyat akan menjadi keutamaan kita,” katanya.