KOTA BHARU, 22 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon untuk bertanding di kesemua 222 kerusi Parlimen seluruh negara, termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu telah diputuskan dengan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan berkenaan juga selesai.

“Kita sudahpun selesaikan pembahagiannya (kerusi) dalam parti PN. PN akan meletakkan calon di semua Parlimen, termasuk 27 kerusi berkenaan.

“Kita ada 222 Parlimen dan kesemuanya akan ada calon (PN). Calon yang terpilih akan diumumkan di setiap negeri tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas Himpunan Penyatuan Ummah, Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad V, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN berkeyakinan akan memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU15.

Beliau berkata, ia berdasarkan semangat kerjasama cukup kukuh antara PAS dengan BERSATU di negeri ini.

“Semangat kerjasama cukup kukuh, dan saya yakin rakyat di Kelantan memang faham serta sudah tahu mengenai isu-isu penting seperti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.