KUALA LUMPUR, 22 Okt – Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, menyatakan dia yakin mampu menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika bertanding.

Namun, katanya, dia memilih untuk tidak menyertai PRU pada 19 Nov ini kerana mahu menumpukan perhatian kepada tugasannya selaku ahli Dewan Negara.

Pada masa sama, kata Razali, dia juga tidak mahu dicalonkan Perikatan Nasional (PN) Terengganu berdasarkan semangat setia kawan dengan PAS.

“Mana kalah… tak kalah, insya-Allah dan saya (tak tanding) bukan takut kalah sebaliknya beri laluan untuk PAS tanding di kerusi (yang akan ditentukan PN),” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Terdahulu Razali dihubungi untuk mendapatkan reaksi mengenai keputusannya tidak bertanding sebagai calon PN dalam PRU ke-15 bulan depan.

Kata Razali, sebagai senator, beliau mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan sehingga penggalnya tamat pada 2024.

Keputusan enggan dicalonkan itu, menurutnya, sudah dimaklumkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, dia yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata memang tiada kerusi parlimen yang dilihat sesuai diperuntukkan kepadanya.

Jika ada sekali pun, katanya, ia adalah kawasan yang dimenangi oleh PAS pada 2018.

“Saya tak merajuk pun. Saya kekal sebagai senator sehingga habis penggal.

“Lagi pun saya tak ada kerusi dan kebetulan tempat saya itu (kerusi untuk) PAS. Jadi, kita tak boleh ganggulah dan sebab itu saya pilih untuk tidak bertanding dan kita bagi laluan kepada (penyandang) kerusi yang dah menang sekarang,” katanya.