IPOH, 22 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan sebagai anak tempatan di kawasan itu, beliau mempunyai banyak kelebihan untuk ‘menjaga’ pengundi di situ berbanding ‘orang luar’.

“Saya memang anak jati di Tambun. Walaupun selepas berakhirnya PRU15 kelak, menang atau tidak saya tetap di sini, kita raikan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di sini.

“Sudah tentu menjadi calon anak tempatan memberi kelebihan kepada saya kerana sejak 2018 di Tambun inilah saya banyak luangkan masa dan rapat dengan mereka (pengundi) kerana saya jaga Tambun,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata, strategi meletakkan calon tempatan dijangka akan memberikan kelebihan dan membuahkan hasil kerana mereka sentiasa berada bersama rakyat pada masa susah dan senang sebelum ini.

“Sudah pasti kita dalam PN akan mengemukakan calon daripada semua gabungan dalam PN, kita tunggulah pengumuman yang akan dibuat dalam masa terdekat siapakah gandingan yang bersama saya di Parlimen Tambun,” katanya.

Pada Khamis, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.