MASJID TANAH, 23 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Prihatin Parlimen Masjid Tanah dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Melaka di Kampung Paya Lebar di sini, malam tadi.

“Kebetulan saya ada di sini, nampak semua sudah bersemangat, saya kata okeylah, saya umum sajalah (Mas Ermieyati sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah).

“Berdasarkan rekod prestasi dan dia pun saya fikir telah menjaga kawasan dengan baik, orang lama, banyak pengalaman dalam kerajaan, dia punya profil pun bagus, jadi bagi saya ini yang terbaik… sebab itu saya ambil kesempatan (umum). Saya harap orang Masjid Tanah akan berasa gembira dan menyokong beliau,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PN hampir menyelesaikan agihan kerusi serta calon bertanding, dan nama-nama calon akan diumumkan Pengerusi PN di negeri masing-masing manakala manifesto sebelum hari penamaan calon.

Sementara itu, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dalam reaksinya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kemenangan pada PRU15.

“Siapa pun yang diletakkan (sebagai lawan) kita akan cuba sedaya upaya dan sehabis baik untuk berkempen, menerangkan dan jumpa dengan pengundi-pengundi untuk memberikan apakah tawaran yang kami boleh berikan sekiranya saya dimandatkan sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah (sekali lagi),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November.