GOMBAK, 23 Okt – Perikatan Nasional (PN) tidak akan meminggirkan usaha memperkasakan masyarakat India jika gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PN tidak akan melupakan pengorbanan masyarakat India yang banyak berjasa dalam arus pembangunan negara.

“Kaum India telah menyumbangkan banyak bagi pembangunan negara kita daripada aspek sosio ekonomi, pendidikan dan membawa kemakmuran kepada negara Malaysia yang kita cintai.

“PN komited terhadap kebajikan masyarakat India bagi memastikan mereka membangun bersama sejajarkan dengan dasar kemakmuran bersama.

“Saya memberi komitmen yang masyarakat India tidak akan terpinggir di bawah pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam ucapan Perayaan Deepavali selepas menghadiri jelajah sumbangan Deepavali di Parlimen Gombak hari ini.

Beliau berharap masyarakat India di Gombak dan seluruh Malaysia terus menyokong PN bagi meneruskan aspirasi kemakmuran bersama dengan moto ‘Melangkah Pasti, Bersatu Berbakti’.