KUALA LUMPUR, 23 Okt – Armada BERSATU yakin kerjasama BERSATU dan PAS di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) boleh menggegarkan kubu kuat UMNO.

Exco Armada BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata kerjasama itu mampu meraih sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Kami akan menawarkan pilihan yang sangat bagus untuk orang Melayu kerana kami bersama PAS. PAS dikenali dengan mempunyai pengundi tegarnya dan (memimpin) beberapa negeri kubu kuat.

“Saya fikir kerjasama antara BERSATU dan PAS mewujudkan pilihan hibrid untuk orang Melayu kerana terdapat pelbagai jenis orang Melayu di luar sana – ada yang sangat Islamik, ada yang lebih liberal dan ada yang berada di tengah-tengah kedua jenis itu.

“BERSATU menarik minat masyarakat yang berbeza. Mereka yang dahulunya menyokong Umno, yang agak tidak Islamik, mereka kini mempunyai pilihan (dengan BERSATU).

“Saya fikir dengan BERSATU akan menyertai pilihan raya bersama PAS, kita benar-benar boleh menggegarkan kubu kuat Melayu UMNO,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Beliau mengulas mengenai calon PN di Kelantan akan menggunakan logo PAS untuk pilihan raya akan datang.

Ini akan melibatkan dua pimpinan BERSATU, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).