KUALA LUMPUR, 23 Okt – Tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bertegas menolak sebarang rundingan dengan PAS dipercayai mahu bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa jika rundingan ini betul, kedua-dua pemimpin itu perlu mendedahkan kandungan perbincangan kepada pengikut mereka dan rakyat.

“Zahid Hamidi kata selepas PRU dia tak mahu berunding dengan parti yang dia labelkan sebagai “Parti Pak Lebai”. Maksudnya Zahid Hamidi tak mahu berunding dengan PAS dan PN.

“Saya berpandangan bahawa Zahid menolak PAS dan PN kerana Zahid mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim. Kalau tidak dia tak akan sanggup begitu sombong dengan PAS dan PN.

“Saya pernah sebut bahawa saya dimaklumkan Zahid dan Anwar telah mengadakan beberapa siri perbincangan sulit yang tidak diketahui oleh parti mereka sendiri. Jika rundingan ini betul, Zahid dan Anwar perlu dedahkan kandungan perbincangan sekarang!

“Adakah Anwar tawarkan Zahid jadi PM sehingga Zahid begitu takabbur hingga sanggup melabelkan PAS dan PN dengan label sebegitu?” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Pas memandangkan parti ‘Pak Lebai’ itu dilihat tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam membentuk kerjasama politik.

Menurutnya, pendekatan yang itu diambil bukan menunjukkan parti pimpinannya bersikap riak, ujub, sombong dan takbur, sebaliknya, sokongan pengundi ketika ini dilihat memihak kepada BN.