PADANG TERAP, 24 Okt – Tindakan bekas Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim meninggalkan parti itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebaliknya sudah dijangka.

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata tindak-tanduk Syed Sobri sebelum ini sudah menampakkan kelainan daripada kebiasaan.

Katanya, beliau juga pernah dihubungi Syed Sobri yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu sebelum ini.

“Jika beliau rasa tak puas hati, perkara itu sepatutnya disuarakan melalui perbincangan dan perjumpaan bulanan. Jadi alasan menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan adalah sesuatu yang janggal.

“Lagi pula, mengapa perkara itu berlaku dalam pilihan raya sedangkan rasa tidak puas hati ini dikatakan bukan perkara baharu. Jadi saya rasa ruang ini digunakan kerana kita berada dalam fasa untuk masuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita faham waktu ini adalah ruang yang berharga bagi orang politik yang ada agenda peribadi kerana ini masa yang terbaik untuk dijanjikan sesuatu. Bukan menuduh tetapi andaian saya kalau perkara ini berlaku terutamanya dalam musim PRU, mungkin ada pihak janjikan sesuatu atau berikan beliau sesuatu untuk laksanakan tindakan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Tanjung Kiri di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Sobri mengumumkan beliau keluar daripada parti dengan turut membawa kira-kira 1,000 bekas ahli BERSATU Padang Terap untuk bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkannya, Penggerak Masyarakat Padang Terap.

Meskipun tidak mengumumkan untuk menyertai mana-mana parti, Syed Sobri berkata komuniti NGO tersebut akan menyokong calon Barisan Nasional (BN) di Padang Terap pada PRU15.

Sementara itu, Khairul Anuar turut menafikan dakwaan Syed Sobri yang mendakwa tindakannya keluar parti turut dijejaki oleh lebih 1,000 ahli BERSATU di kawasan tersebut.

“Semakan BERSATU Bahagian ini mendapati hanya empat orang sahaja dalam sidang akhbar tersebut yang benar-benar menjadi ahli parti,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Padang Terap, Mohd. Zharif Mohd. Zohdi memaklumkan, Syed Sobri sebenarnya sudah meletak jawatan pada 15 Oktober lalu.

“Sebaik beliau meletakkan jawatan, kami telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan kesemua 21 AJK tersebut kekal bersama BERSATU hingga kini,” katanya.