PAITAN, 24 Okt – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai lima parti politik ialah platform terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah menyuarakan kehendak dan aspirasi mereka kepada kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata Sabah memerlukan gabungan parti politik mantap seperti GRS untuk memperjuangkan perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta yang belum tertunai bagi memastikan pembangunan Sabah tidak diabaikan.

“Kita mahu dana pembangunan yang banyak disalurkan di kawasan kita supaya melalui suara politik yang kuat, perkara yang kita kehendaki itu dapat dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

GRS dianggotai BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negeri itu.

Ronald, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, berkata permintaan daripada Sabah dan Sarawak kini lebih jelas didengar dan direstui kerajaan Persekutuan, namun bagi Sabah, meskipun ada kehendak dan aspirasi yang telah ditunaikan tetapi masih ada beberapa perkara perlu diperjuangkan.

Mengulas mengenai pembangunan Parlimen Beluran, Ronald yang juga penyandang kerusi Parlimen itu menjelaskan usaha membangunkan kawasan berkenaan terus diperjuangkan kerana masih banyak yang memerlukan perhatian kerajaan, terutama berkaitan jalan raya, sekolah daif dan bekalan air.

“Sebab itu kita (GRS) harus terus kekal untuk menyokong kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, supaya hasrat kita ini dapat kita langsungkan untuk tempoh lima tahun akan datang ini,” katanya.