KUALA LUMPUR, 24 Okt – Kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi janji bahawa dua orang Timbalan Perdana Menteri (TPM) akan dilantik masing-masing bagi mewakili Sabah dan Sarawak, jika BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), disifatkan tawaran yang menarik tetapi menimbulkan beberapa persoalan.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad mempersoalkan sama ada Ahmad Zahid adalah calon Perdana Menteri (PM) sebenar daripada BN sedangkan yang diberitahu calonnya adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam sistem politik negara kita, TPM dilantik oleh PM. Pengerusi mana-mana parti politik tidak ada kuasa untuk melantik TPM.

“Tetapi yang membuat janji ini ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN.

“Adakah ini bermaksud, sebagai Pengerusi BN yang satu-satunya ada kuasa untuk memberi watikah kepada calon-calon BN, beliau hanya akan memberi watikah kepada penyokong-penyokong setianya sahaja?

“Adakah ini bermaksud, apabila calon-calon ini menang dalam pilihanraya, mereka akan memberi sokongan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai PM, bukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?” soalnya dalam kenyataan di Facebook.

Marzuki juga turut mempersoalkan jika BN menang PRU15, Malaysia akan mencipta sejarah apabila mempunyai PM yang sedang berhadapan dengan pendakwaan jenayah rasuah di mahkamah.

“Adakah ini juga bermaksud, agenda pertama Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 20 November 2022 bukan untuk membela nasib rakyat, tetapi untuk melepaskan dirinya daripada pendakwaan di mahkamah?

“Yer lah…antara tugas rasmi PM yang baru dilantik ialah untuk melakukan kunjung hormat ke atas rakan sejawat di luar negara.

“Tak syoklah kalau tiba-tiba PM kena bergegas balik untuk hadir perbicaraan di mahkamah.

“Saya tanya jer…” katanya.