BAGAN SERAI, 24 Okt – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan di saat rakyat boleh keluar mengundi, bukannya memilih waktu hujan atau musim tengkujuh.

Wan Saiful berkata ini kerana UMNO-BN tahu bahawa mereka boleh menang pilihan raya sekiranya peratusan keluar mengundi kurang.

“Kalau betul UMNO-BN hormat demokrasi, nak pulangkan mandat rakyat pada PRU15, laksanakan pilihan raya di saat semua orang boleh keluar mengundi. Bukan pilih waktu hujan atau musim tengkujuh untuk adakan pilihan raya.

“Ini kerana, UMNO-BN tahu bahawa mereka boleh menang sekiranya peratusan keluar mengundi kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 3,000 hadirin dalam ucapan di Jelajah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Parlimen Bagan Serai, di sini pada Ahad.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Beliau menggesa jentera dan ahli-ahli PN agar mengajak pengundi-pengundi keluar mengundi dengan menerangkan isu-isu semasa yang berlaku dalam politik negara.

“Terangkan kepada mereka satu undi itu penting dalam memastikan kuasa kleptokrat dan kuasa pentingkan diri akan tumbang pada PRU15 nanti,” katanya.