KUALA LUMPUR, 24 Okt – Isu banjir kilat yang sering dihadapi penduduk Kampung Sungai Penchala di sini, dijangka berakhir dengan pembinaan projek tebatan banjir di kampung berkenaan yang dijangka siap tidak lama lagi.

Difahamkan projek tebatan banjir yang sudah 40 peratus dalam pembinaan dapat mengurangkan risiko banjir dihadapi penduduk sejak 18 tahun lalu.

Penduduk, Agus Omar, 81, berkata, jika projek tebatan banjir berkenaan siap ia dapat mengelak kerugian harta benda penduduk akibat bencana itu.

“Isu ini dah lama kami bawa kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan dan akhirnya ia diluluskan atas kerjasama beberapa pihak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, jika projek berkenaan tidak dilaksanakan, setiap kali hujan lebih 40 buah rumah berhampiran sungai berkenaan akan ditenggelami air.

Bagi Ismail Ahmad, 71, sehingga sekarang penduduk yang tinggal berhampiran sungai terpaksa berjaga-jaga jika hujan lebat kerana khuatir air akan naik mendadak.

“Terdapat lima anak sungai yang mengalir terus ke Sungai Kayu Ara dan akan bertembung dengan air yang mengalir dari Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI), sekali gus menjadi punca air naik melebihi paras tebing,” katanya.

Menurutnya, perumahan baharu yang kedudukannya agak tinggi daripada kawasan kampung juga antara faktor penyumbang kepada banjir yang boleh naik setinggi tiga hingga lima meter.

Seorang lagi penduduk, Roslan Abd Hamid, 67, pula berkata, masalah hakisan turut menjejaskan tanah perkuburan Islam di situ.

“Ada kubur berhampiran sungai sudah ‘hilang’ terhakis akibat limpahan air sungai dan ini amat membimbangkan kami,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sungai Penchala (PPKSP), Shohaimi Saad mengucapkan terima kasih kepada DBKL kerana meluluskan projek berkenaan.

“Pembinaan tebatan ini bermanfaat untuk penduduk kampung dan hasil usaha persatuan penduduk dan juga BERSATU Bahagian Segambut selama ini,” kata beliau.

Shohaimi hadir bersama Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Md Rais dan Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Segambut, Datuk Simon Suresh meninjau projek tebatan banjir di Kampung Sungai Penchala, pada Isnin.