KANGAR, 25 Okt – BERSATU Perlis akan menyokong pentadbiran yang dipimpin PAS dan calon menteri besarnya sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata PAS telah lebih lama bertapak di Perlis berbanding BERSATU yang merupakan parti politik baharu di negeri itu dan pastinya PAS mempunyai pengalaman luas untuk mengurus tadbir kerajaan negeri nanti.

“Kita (BERSATU Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya kepada Bernama hari ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon menteri besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.

Abu Bakar berkata beliau tidak melihat perkara itu merugikan BERSATU kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).

“Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya BERSATU akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.

Untuk Parlimen, BERSATU hanya akan meletakkan calon di satu kerusi Parlimen iaitu Kangar, manakala dua lagi adalah PAS.

Abu Bakar berkata PN akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam masa terdekat.