ALOR SETAR, 25 Okt – Perikatan Nasional (PN) yakin peluang mereka di Kedah lebih cerah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengambil kira prestasi PAS sebagai teraju kerajaan negeri serta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang memberangsangkan.

Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata selain berlandaskan kajian dibuat pihaknya yang memberi petunjuk positif terhadap sokongan rakyat, keyakinan itu juga mengambil kira peningkatan undi untuk PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

“Atas beberapa faktor dan trend sokongan rakyat terutama di Kedah di bawah kepimpinan Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah, yang dilihat bersih, telus dan berintegriti.

“Tindakan beliau buat dalam pentadbiran juga mewujudkan keyakinan kepada masyarakat dan pelabur asing untuk masuk ke Kedah.

“Sebab itu kita tidak terkejut apabila Kedah tahun lalu, adalah salah satu negeri mencatat pertumbuhan dan jumlah kemasukan pelaburan yang tinggi sehingga menjadi sejarah, ” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Mengulas kekuatan PN Kedah yang dilihat terlalu bergantung kepada PAS, Khairul Anuar menjelaskan, ia tidak dapat dinafikan kerana parti itu lebih lama berbanding BERSATU yang ditubuhkan pada 2016.

Namun, katanya, perlu diingat BERSATU adalah antara parti yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat dan kita berjaya buat perubahan dalam PRU14.

“Maknanya walaupun kita kecil, sokongan dan penerimaan rakyat di peringkat akar umbi terhadap BERSATU tidak boleh dipandang ringan.

“Ini dapat dilihat apabila Barisan Nasional (BN) menyasarkan serangan secara berterusan terhadap BERSATU, walaupun mereka menggambarkan kami ini hanya parti kecil,” katanya.