KUALA NERUS, 26 Okt – Lima syarikat diberi tempoh sehingga 19 Disember depan untuk mengemukakan bukti bahawa mereka tidak terbabit dalam isu kartel ayam di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata lima syarikat terbabit disiasat di bawah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dimaklumkan MyCC sudah menyiasat lima syarikat terbabit dan wujud kartel ayam seperti didakwa.

“Hasil siasatan MyCC, lima syarikat ini dipercayai terbabit dengan kartel ayam dan memohon diberi masa untuk mengemukakan representasi menafikan kegiatan itu.

“MyCC memberi tempoh sehingga 19 Disember depan untuk mengemukakan bukti berkaitan berhubung dakwaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup program CA2010@University bersama MyCC dan sesi dialog serta ramah mesra program Food Bank Malaysia bersama mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Prof Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail dan Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Badruhisham Darus.

Rosol berkata, keputusan akan ditentukan atas penilaian bukti yang dikemukakan lima syarikat terbabit.

“Kita tunggu bukti yang dikemukakan kepada MyCC. Kartel ayam ini membimbangkan kerana ia membabitkan manipulasi harga ayam, selain ada pakatan menentukan harga hingga meningkat,” katanya.

Ogos lalu, MyCC mengesan lima syarikat pengeluar makanan ayam dipercayai melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan menaikkan kuantum harga di pasaran.

Mengulas program berkenaan, Rosol berkata, ia bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar universiti mengenai undang-undang persaingan dan MyCC sebagai agensi KPDNHEP.