KUALA LUMPUR, 26 Okt – Semua calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dipastikan tidak mempunyai sebarang rekod melibatkan kes mahkamah atau jenayah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN sama sekali tidak membenarkan mana-mana individu yang didapati mempunyai sebarang rekod jenayah untuk bertanding mewakili PN.

“Mana-mana individu yang didapati telah diheret ke mahkamah atau kes-kes jenayah termasuk melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak akan dibenarkan menjadi calon.

“Apa yang penting adalah PN akan memastikan calon bertanding bersih daripada sebarang kes mahkamah atau jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang kali Ketiga (NASFLE) 2022 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini, pada Rabu.

Katanya, setakat ini nama calon mewakili PN telah diambil untuk dijalankan saringan.

Kita telah ada nama-nama calon dan nama ini akan dihantar ke beberapa agensi untuk dijalankan tapisan bagi memastikan mereka bersih.

“Perlu kita ingat bahawa proses ini penting, ahli parlimen yang dipilih perlu bersih daripada sebarang kesalahan jenayah bagi memastikan negara ini dihormati,” katanya.