PUTRAJAYA, 27 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan memperolehi sokongan daripada wakil-wakil negeri bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November depan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, wakil-wakil negeri itu jelas memberikan kata putus bahawa mereka akan memberikan komitmen kepada gabungan tersebut.

“Tadi ada datang seorang wakil daripada sebuah negeri, saya tidak usah sebut di sini. Yang katakan komitmen dia untuk membantu dan menyokong kita bentuk kerajaan.

“Saya rasa begitu lega dengan kenyataan komitmen mereka untuk bersama-sama kita.

“Tapi dengan syarat kita mempunyai sejumlah kerusi yang terbesar berbanding Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” katanya dalam ucapan sempena Jelajah Prihatin PN Parlimen Putrajaya di sini pada malam Rabu.

Hadir sama adalah Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Muhyiddin bagaimanapun enggan memperincikan dengan jelas siapa wakil yang dimaksudkan beliau.

Untuk rekod, PN memerintah di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sekiranya sokongan daripada negeri berkenaan diberikan kepada PN, maka akan berlaku satu gelombang besar menolak Barisan Nasional (BN) pasca PRU15 kelak.

“Kalau ada gelombang dalam sehari dua minggu nanti, gelombang di mana BN akan kalah teruk.

“Ini boleh bersihkan negara dari sampah politik kerana dibawa oleh BN dengan amalan rasuah, jangan kita terima lagi, bersihkan Putrajaya,” katanya lagi.