PUTRAJAYA, 27 Okt – Perikatan Nasional (PN) berjanji akan meneruskan pemberian Elaun Khas atau Bantuan Khas sebanyak RM2,500 kepada penjawat awam seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023, jika gabungan parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan keputusan PN memasukkan perkara tersebut di dalam manifesto parti sempena PRU-15.

“Ada orang bertanya kepada saya, Tan Sri bila PN esok adakah PN akan laksanakan bajet 2023. Saya jawab, ya.

“Kita akan melaksanakan apa yang telah pun tersenarai dalam bajet 2023 yang telah dibentangkan tapi belum diluluskan,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Prihatin PN Parlimen Putrajaya di sini malam Rabu.

Turut hadir, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Muhyiddin berkata, penjawat awam memberikan sumbangan besar kepada negara dan sumbangan tersebut seharusnya dihargai.

“Semasa pandemik Covid 19 memuncak siapakah yang bertungkus lumus membantu kerajaan menangani wabak ini, penjawat awam. Jadi pada malam ini sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan penjawat awam membantu kerajaan memerangi Covid-19,” katanya.