KUALA LUMPUR, 27 Okt – BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) kini menjadi alternatif kepada rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, setelah UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah terlalu lama dan semakin rosak, kata sayap Pemuda Bersatu, Armada.

Exco Armada BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid mengakui bahawa kebanyakan pemimpin utama BERSATU dan PN sekarang ini berasal daripada ahli UMNO, tetapi mereka telah keluar lebih awal setelah mendapati parti itu telah rosak.

“BERSATU ini memang dipimpin pada awalnya oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga ramai bekas-bekas pimpinan tertinggi UMNO.

“Kerana mereka melihat bahawa perlunya sesebuah parti politik untuk menjadi opsyen (pilihan) lain kepada orang Melayu, khususnya, ataupun pengganti kepada UMNO.

“Jadi tentunya bukan sahaja pimpinan atas yang merasakan sebegitu, pimpinan pertengahan dan pimpinan bawah juga ahli-ahli biasa ini juga mendapati bahawa UMNO ini sistemnya sudah lama ada yang pendapat ianya sudah rosak,” katanya ketika diwawancara menerusi program Sembang PRU-15 Utusan Online yang disiarkan secara langsung pada Rabu.

Untuk rekod, kerosakan yang dilakukan pemimpin UMNO dan BN, termasuk menyeleweng berbilion-bilion ringgit wang rakyat, selain rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kemuncak daripada penyelewengan pemimpin UMNO dan BN terdedah menerusi kehilangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia.

Akibatnya Presiden UMNO ketika itu yang juga Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dan dihantar menjalani hukuman penjara 12 tahun, membabitkan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.

Najib juga masih berdepan dengan banyak lagi pertuduhan jenayah melibatkan dana 1MDB dan beberapa kes lain, sementara isterinya Datin Seri Rosmah Mansur turut dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana rasuah projek solar hibrid.

Selain Najib, Presiden UMNO dan Pengerusi BN sekarang ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berdepan hukuman di atas 87 pertuduhan jenayah, termasuk rasuah.

Mengulas lanjut, Harris Idaham berkata disebabkan itu juga PN kini mengenakan tapisan paling ketat terhadap semua bakal calonnya untuk bertanding dalam PRU-15, kali ini.

Langkah itu katanya, bertujuan supaya parti komponen PN – Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR – mampu menawarkan calon-calon yang berwibawa dan boleh berkhidmat, selain mengikut prinsip asas parti iaitu integriti dan amanah, selain prihatin rakyat.

“Tapisan terhadap calon Perikatan Nasional kali ini sangat-sangat rigid… ketat… supaya PN dapat menawarkan calon boleh menang dan mampu berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang mengesahkan turut diminta mengisi borang pencalonan bagi Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang.

Katanya PN juga menawarkan ‘darah baharu’ dan ‘udara baharu’ kepada anak muda untuk menyertai politik tanah air, menggantikan sistem lama UMNO yang telah rosak.