MELAKA, 27 Okt – Hubungan keakraban komponen dalam Perikatan Nasional (PN) baik tanpa sebarang isu meskipun Armada BERSATU Bahagian Jasin menuntut calon parti itu untuk mewakili Parlimen Jasin.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata ini kerana suara yang diluahkan tidak mewakili kesemua Armada negeri ini dan menyifatkan ia sebagai isu terpencil.

Malah katanya, perkara tersebut tidak memberi kesan kepada hubungan baik dalam kalangan ahli parti komponen itu termasuk Pas dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

“Itu bukan pergolakan, suara peribadi sahaja bukan juga mewakili semua Armada,” katanya dalam laporan Sinar Harian, pada Khamis.

Beliau yang juga ADUN Bemban berkata, beliau memahami hasrat orang muda yang mahu mendapatkan kehendak mereka namun menggunakan platform salah.

Ujar beliau, berharap ahli parti itu perlu bertenang kerana agihan kerusi dalam komponen PN Melaka masih dalam proses dan belum dimuktamadkan lagi.

“Pengagihan kerusi setakat ini belum ditentukan lagi kecuali Parlimen Masjid Tanah,” katanya.

Rabu lalu, menyiarkan Armada BERSATU Bahagian Jasin menuntut PN memberi laluan kepada calon parti mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen Jasin.

Ketua Armada BERSATU Bahagian Jasin, Muhammad Jefri Safry berkata ini kerana terdapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Jasin yang dimenangi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung November tahun lalu berbanding calon Pas.

Ditanya mengenai persiapan jentera, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Melaka, berkata kesemua parti dalam gabungan itu di fasa pecutan akhir membuat persiapan sebelum tibanya hari Penamaan Calon pada 5 November depan.

“Masing-masing parti memainkan peranan dan membuat persiapan terakhir kita sebelum hari penamaan calon minggu depan,” ujarnya lagi.