MERSING, 27 Okt – “Saya tak mahu ketagihan kuasa. Saya nak berhenti dan serahkan jawatan (kuasa) kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib, sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Mersing nanti,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Dr Abdul Latiff yang juga penyandang kerusi Parlimen Mersing berkata, pemimpin perlu mahir menguruskan kuasa dan bukannya kuasa menguruskan pemimpin sehingga tidak berani untuk menyerahkan kuasa.

Susulan itu, beliau tegas mengulangi pendiriannya tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Mersing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kuasa boleh menyebabkan ketagihan hingga kita tak berani nak menyerahkan kuasa.

“Saya tak mahu jadi begitu, jadi saya mencadangkan nama Alwiyah sebagai calon PN bagi Parlimen Mersing.

“Saya tidak akan buat pusingan U, saya sudah bincang dengan Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin)…saya tahu apa yang saya nak, tunggulah diumumkan,” katanya pada Program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Penternakan Ikan Kelah dan Spesies Ikan Tempatan di Kampung Tanjung Genting, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Dr Abdul Latiff bersedia memberi peluang kepada calon muka baharu mewakili BERSATU untuk bertanding di Parlimen Mersing pada PRU15 nanti.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk menonjolkan pemimpin baharu yang bersedia dan bertenaga untuk memberi khidmat di kawasan itu.

Dr Abdul Latiff berkata, pengalaman selama enam penggal iaitu 27 tahun menjadi wakil rakyat dan sebagai calon dipilih PN, beliau perlu merendah diri dan mengikut arus semasa.

Sementara itu, Dr Abdul Latiff berkata, beliau akan mengambil tindakan saman ke atas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli selepas mendakwanya menipu dan menabur fitnah ke atas dirinya berhubung isu siasatan kes kapal tempur pesisir (LCS).

Katanya, beliau mempunyai masa sehingga enam tahun bagi melakukan tindakan saman mengikut nasihat peguamnya dan berseloroh mungkin akan melakukannya ketika Rafizi menjadi Perdana Menteri nanti.

“Saya akan saman Rafizi selepas ini, dia sekarang disiasat mengikut Akta 273 Kanun Keseksaan kerana berbohong.

“Saya buat laporan polis kerana dia menyebarkan berita palsu, sebab itu telefonnya dirampas. Apabila polis buat siasatan, terpulang kepada Pejabat Peguam Negara untuk ambil tindakan seterusnya,” katanya.