PUTRAJAYA, 27 Okt – Pakatan Harapan (PH) didakwa mahu membawa agenda memperkukuhkan koridor DAP di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata PH mahu mewujudkan satu lagi ‘Pulau Pinang’ di Perak.

“Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akhirnya lari ke Tambun, jadi beliau lari ke kawasan yang ramai pengundi bukan Melayu.

“Orang Melayu, Cina dan India kena faham kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita kena tolak PH dalam PRU15 nanti,” katanya pada Jelajah Prihatin PN di Putrajaya, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Sementara itu, Radzi yang diumum sebagai calon PN kerusi Putrajaya mendakwa, Barisan Nasional (BN) tidak pernah insaf walaupun selepas kehilangan kuasa pada PRU14.

Beliau mendakwa, pimpinan parti itu juga tidak menghiraukan rayuan 12 menteri daripada PN supaya PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

Radzi berkata, penjawat awam di Putrajaya berpengalaman berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang sering mencari kesalahan kakitangan awam.

Ketika itu, katanya, ramai tidak selesa dan berasakan mereka dipimpin oleh kelompok yang hanya mahu mencari salah pegawai kerajaan.

“Pegawai kerajaan ditukar ke sana sini sesuka hati kerana kononnya tidak memenuhi keperluan dalam membuat apa juga yang mahu nak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli mendakwa Malaysia melalui zaman gelap selama berpuluh tahun di bawah BN berbanding ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Era PN dihormati, sebab itulah menteri kita bukan nak umum dasar yang pelik-pelik dan populis,” katanya.