IPOH, 27 Okt – Penyandang kerusi Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menolak sekiranya dicalonkan di kerusi Parlimen lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan I dari BERSATU berkata, fokusnya ketika ini adalah untuk mengekalkan kerusi yang disandang dan bukan untuk bertanding di kerusi-kerusi lain.

“Sekiranya dicalonkan semula, saya hanya mahu kerusi Parlimen Bagan Serai, kerusi lain saya tak mahu.

“Sudah 10 tahun saya di situ dan sejak menang, saya tak pernah berehat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, sentiasa ada dengan rakyat di situ pada ketika suka dan duka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Istiadat Konvokesyen 2022 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di Dewan Seri Perdana ILKKM Sultan Azlan Shah di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Noor Azmi akur dengan keputusan pimpinan parti sekiranya tidak dicalonkan semula bertanding pada PRU15 ini.

Bagi beliau, tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah memberi perhatian kepada pengundi-pengundi di kawasannya secara berterusan dan bukan bermusim.

“Saya sebelum ini sudah menyatakan kesediaan bertanding mengekalkan kerusi, tetapi kesediaan itu bagi kerusi Parlimen (Bagan Serai), bukan nak bertanding kerusi-kerusi lain termasuk DUN,” katanya.