KOTA BHARU, 28 Okt – Seramai 70,000 pegawai dan anggota membabitkan pelbagai agensi ditugaskan bagi menghadapi bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL) di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jumlah itu meliputi pasukan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 21,018 orang, Angkatan Tentera Malaysia (18,500 orang), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (15,000 orang), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (10,500 orang) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (4,400 orang).

“Kita telah minta bantuan daripada beberapa agensi untuk membantu PDRM kerana kita sedar ramai anggota kita juga akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Kita juga ada minta bantuan untuk menggunakan aset-aset daripada agensi terbabit seperti lori, bot dan aset udara,” katanya selepas menghadiri taklimat PRU15 dan persiapan menghadapi MTL di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi ‘hotspot’ banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko kepala air.

“Kita telah kaji beberapa strategi untuk pastikan rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PDRM kerana kita telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana akibat hujan lebat,” katanya.