MERSING, 28 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi memuktamadkan keputusan berhubung cadangan mencalonkannya sebagai Ahli Parlimen Mersing pada PRU15, kelak.

Bagaimanapun menurut Alwiyah, dia sedia melaksanakan amanah serta tanggungjawab terutamanya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing sekiranya dipilih.

“Pada mulanya, saya memang terperanjat apabila mengetahui dicadangkan untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mersing.

“Namun, saya tetap bersedia dengan perkara itu (cadangan) dan akan cuba melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

“Kini, terserahlah kepada pihak pucuk pimpinan bagi memuktamadkan cadangan itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu pada Khamis, penyandang kerusi Parlimen Mersing yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan dia tidak mahu bertanding pada PRU15.

Malah Abdul Latiff turut bertegas tidak mahu lagi ‘ketagihan kuasa’ namun bersedia membantu calon-calon yang bertanding kelak.

Sementara itu, Alwiyah yakin mampu menggalas tanggungjawab selaku Ahli Parlimen (Mersing) dan ADUN Endau kelak, sekiranya berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan pada PRU15 nanti.

Katanya, kerjasama serta komitmen daripada ahli mempertahankan kerusi Parlimen Mersing dan menyerahkannya kepada Alwiyah.

“Insya-ALLAH, kita bekerja bukan ‘sorang-sorang’…kita ada team yang cukup komited dan bertanggungjawab.

“Apa pun, sehingga ke hari ini, kita memang bersedia,” katanya.