PAGOH, 28 Okt – Pemberian moratorium dan membantu rakyat susah antara tumpuan manifesto Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selain itu, PN turut memberikan komitmen melaksanakan apa terkandung di dalam Bajet 2023 yang sudah dibentang tetapi tidak sempat dibahas dan dilululuskan.

Malah kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu, jika ada keperluan, bajet tersebut akan ditambah baik dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Cadangan pemberian moratorium ini pernah kita cadangkan tetapi tidak dibuat kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri (Datuk Seri).

“Saya jangka moratorium ini boleh kita buat kerana kalau Kementerian Kewangan dulu sudah boleh buat minta Bank Negara mengarahkan bank dalam negara kita memberikan moratorium.

“Yang lepas kita buat (moratorium) bank tidak menanggung rugi. Malah bank menambah pendapatan dia, kerana moratorium menangguh hutang, bila ekonomi baik dia dapat balik. Dia tak rugi,” katanya pada sidang media di Pagoh pada Jumaat.

Terdahulu Muhyiddin menghadiri program Sembang Santai bersama masyarakat Cina di pekan Bukit Kepong dan menghadiri majlis sarapan di Kampung Permatang Pasir, Bukit Pasir, Pagoh.

Muhyiddin berkata, manifesto PN akan diumumkan selepas penamaan calon.

Katanya, PN juga akan membentuk satu jawatankuasa bebas terdiri mereka yang memahami soal pengurusan serta kewangan negara bagi meneliti langkah akan diambil untuk tahun akan datang berdasarkan apa yang mereka janjikan.

“Ini boleh menambah keyakinan rakyat bahawa kami ni bukan main-main…tawar bulan, bintang dan matahari tetapi tak buat apa-apa macam kerajaan terdahulu.

“Janji nak buat bantuan, tak buat. Saya tidak boleh buat macam ni, itu tak amanah,” katanya.