KUALA LUMPUR, 28 Okt – Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melahirkan keyakinan bahawa lebih ramai pengundi tradisi UMNO akan beralih arah atau sokongan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dakwanya, selagi mana pengundi tradisi ini tahu bahawa UMNO dipimpin oleh orang-orang yang korup dan didakwa di mahkamah, nasib orang Melayu takkan terbela.

“Sebab bila mereka bagi amanah kepada pemimpin yang korup ini, dia khianat. Jadi saya yakin PN dan BERSATU untuk PRU15 ini, mampu memberi saingan sengit kepada UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Agenda Awani ‘PRU15: Tiga Penjuru BN-PN-PH, Anak Muda Pilih Mana?’ yang disiarkan di Astro Awani pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU15 serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 5 November.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan, naratif atau tema ‘Prihatin Rakyat’ akan diulang dan diperkasakan untuk menjadi satu tawaran yang terbaik dalam PRU15 oleh PN.

“Anak muda yang terkesan, kita sedar rintihan mereka (tentang) pekerjaan, pendidikan, perumahan (dan) semua isu-isu asas ini.

“PN ada jawapannya. Insya-ALLAH saya yakin minggu depan akan ada penjelasan tentang manifesto tersebut,” ujarnya.