PAGOH, 28 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto pada awal bulan depan, selepas hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini penting kerana mahu orang ramai mengetahui tawaran PN untuk rakyat dan komitmen PN dalam melaksanakan dan menambah baik inisiatif yang telah diumumkan ketika pembentangan Bajet 2023.

“Malahan kita meneliti perkara itu (Bajet 2023) dan menambah baik jika ada keperluan kita akan lakukan.

“Kita akan utamakan kepentingan rakyat dan antara langkah penting adalah bagaimana nak membantu golongan-golongan rentan yang terkesan akibat COVDD-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Bertemu Masyarakat Setempat di Kedai Kopi di Bukit Kepong di sini, hari ini.