KOTA BHARU, 28 Okt – Perikatan Nasional (PN) yakin menang di semua kerusi ditandingi yang majoriti pengundinya adalah peneroka FELDA.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ia berikutan warga FELDA bukan lagi menjadi deposit tetap Barisan Nasional (BN), malah sedar pemimpin yang membantu mereka selama ini.

Katanya, pengundi sudah maklum segala bayaran hutang FELDA membabitkan berbilion ringgit diselesaikan ketika pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau kita benar-benar berterima kasih, berterima kasihlah kepada mereka yang menyelesaikan masalah kita.

“Sebab itu saya yakin dengan budaya rakyat kita, mereka akan berterima kasih kepada insan yang sudah menyelesaikan masalah mereka.

“Saya berharap warga FELDA di seluruh negara berfikir dan memilih mereka yang benar-benar prihatin terhadap rakyat,” katanya pada sidang media selepas taklimat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan persiapan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Hamzah meminta peneroka FELDA sedar kerana Muhyiddin sudah membuktikan kesungguhannya membantu mereka sebelum ini.

“Kita sudah buktikan yang kita juga mampu menguruskannya (isu FELDA) dengan baik,” katanya.