KOTA BHARU, 28 Okt – Proses agihan kerusi antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlaku dengan mudah serta lancar dan pengisytiharan calon akan dibuat di negeri masing-masing.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pemilihan calon juga tidak memperlihatkan berlakunya perebutan namun tidak menafikan ada beberapa pertindihan dan masalah itu sudah diangkat kepada pimpinan tertinggi.

Beliau berkata, keputusan yang dimuktamadkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dicapai dalam situasi saling menghormati malah masing-masing bersedia memberi laluan bergantung kepada kekuatan parti.

“Semalam kita sudah selesai isu agihan kerusi dengan parti komponen di semenanjung, begitu juga di Sabah dan Sarawak, secara keseluruhan, agihan kerusi kita mudah, sangat mudah.

“Ada kawasan yang BERSATU fikir kalau letak calon PAS boleh menang, BERSATU beri kepada PAS dan ada juga kawasan yang PAS fikir kalau kerusi ni PAS bertanding payah menang, tapi calon berpotensi, kita beri kepada BERSATU, jadi pengagihan kerusi sangat mudah dan berjalan baik.

“Hanya ada beberapa sahaja kerusi yang bertindih tak boleh diselesaikan oleh jawatankuasa dan kita sudah angkat kepada presiden,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sokongan pengundi, Tuan Ibrahim berkata, tumpuan partinya kini adalah untuk melihat sokongan PN ke seluruh negara dan menyifatkan maklum balas yang diterima adalah positif.

Beliau menganggap PN adalah tawaran baharu kepada rakyat untuk menikmati masa depan yang lebih baik.

“Sekarang ini tumpuan kita untuk melihat sokongan PN ke seluruh negara dan saya tengok moodnya sangat positif.

“Alhamdulillah, saya turun di mana-mana pun dari segi sambutan orang ramai, anak muda sesetengah anak muda (sudah) bosan dengan kes rasuah, mahkamah, kes kegagalan 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Rakyat sudah merasai 22 bulan yang memeritkan di bawah PH dan kita harapkan PN ialah tawaran baharu kepada rakyat kita untuk lihat masa depan negara kita,” katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), hadir merasmikan Karnival KASA 2022 @Kubang Kerian Sejahtera di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini.