PAGOH, 28 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin nilai aset khazanah Felda mampu dilipatgandakan jika diuruskan dengan betul.

Katanya, sebagai sebuah ladang rakyat terbesar, Felda mempunyai potensi untuk dimajukan dan bukannya diletakkan dalam keadaan nazak seperti di era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Saya mempunyai idea, jika saya dipilih, diberikan mandat untuk memimpin negara, saya ada idea yang saya nak gunakan bagaimana aset dan khazanah Felda nak dilipatkan ganda nilainya, hasilnya,” katanya pada sidang media di Pagoh pada Jumaat.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menghadiri program Sembang Santai bersama masyarakat Cina di pekan Bukit Kepong dan menghadiri majlis sarapan di Kampung Permatang Pasir, Bukit Pasir, Pagoh.

Muhyiddin seterusnya berkata, beliau mempunyai hubungan rapat dengan komuniti Felda dan kesungguhannya dalam membela masyarakat Felda tidak boleh dipertikaikan.

Menurutnya, tidak sampai setahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri Kelapan, beliau telah melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion, selain meluluskan penerbitan sukuk bagi membantu agensi tanah persekutuan itu.

“Jadi saya tidak tahulah kalau orang Felda tidak menimbang apa yang saya telah lakukan dalam tempoh kurang setahun itu,” katanya.

Ditanya mengenai sokongan masyarakat Felda kepada PN, Muhyiddin berkata, sudah nampak perubahan.

“Sebanyak 54 kawasan Parlimen yang ada Felda, termasuk Pagoh, Pagoh ada empat Felda. Daripada pilihan raya yang lepas, saya lihat ada perubahan, Daripada empat Felda, saya menang tiga. Kesan sudah ada.

“Kita jangka, apabila kita masuk ke kawasan itu, dan kita jelaskan apa yang kita telah buat, kita harap ada satu penilaian baharu,” katanya.