PAGOH, 28 Okt – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan mana-mana calon Perdana Menteri (PM) daripada parti lawan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tiada masalah untuknya berdebat selagi tujuan program itu tidak mempunyai muslihat tertentu oleh mana-mana pihak.

“Saya tiada masalah untuk debat atau dialog.

“Kalau penganjur jemput secara rasmi, (debat) itu sesuai, tidak timbul reaksi tidak elok dan dibuat secara adil, saya tiada masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program sembang santai bersama masyarakat Cina di Kedai Kopi Pekan Bukit Kepong.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, tiada masalah untuknya berbincang mengenai soal isu ekonomi, pemulihan negara, pendidikan atau antarabangsa dalam debat itu nanti.

Beliau menegaskan, debat itu mestilah untuk kepentingan negara dan bukannya mempunyai tujuan muslihat lain.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya calon PM Pakatan Harapan (PH), PN dan BN berdebat secara terbuka sempena PRU15.

Ismail berkata debat bukan “bukan budaya kita” dan perbahasan disarankan tidak akan mendatangkan sebarang hasil.

Pada 20 Oktober, Anwar berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar, perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan dan menerusi langkah itu rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.