PUTRAJAYA, 29 Okt – Walaupun menjadi pusat pentadbiran kerajaan, namun calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerima banyak rungutan daripada penduduk berhubung isu penyelenggaran kuarters dan juga bas awam yang agak kekurangan.

Mohd Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata beliau sudah menetap Putrajaya sejak 2018 dan masyarakat setempat sudah mengenalinya, malah seringkali orang ramai ditemuinya membangkitkan berhubung beberapa aspek yang perlu ditambahbaik bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10, ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.

“Insya-Allah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini.

“Banyak perkara yang disampaikan kepada saya, walaupun Putrajaya ini sebuah bandar pentadbiran serta bandar terancang, banyak perkara perlu ditambahbaik, antaranya penyelenggaraan kuarters yang tidak diberi perhatian dalam tempoh yang lama dan tiada pengangkutan awam seperti bas untuk menghantar pelajar ke sekolah,” katanya dipetik laporan BH hari ini.

Radzi memberi contoh berhubung isu bas sekolah yang dibangkitkan oleh orang ramai kepadanya.

“Kalau dulu pelajar ini pergi sekolah dengan bas, tetapi kini ibu bapa terpaksa menghantar ke sekolah berikutan ketiadaan bas di Putrajaya.

“Selain itu ruang parkir juga menjadi isu di bandar ini,” katanya lagi.

Radzi terdahulu melancarkan Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), di Putrajaya pagi tadi.

Rabu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden BERSATU sebagai calon gabungan itu di Parlimen Putrajaya sekali gus menutup pelbagai khabar angin berkaitan kerusi berkenaan.

Untuk rekod, kerusi P125 Putrajaya itu disandang oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi.