KUANTAN, 29 Okt – Lima lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah tawaran pekerjaan di Kemboja dibawa pulang jam 12.05 tengah hari, pada Jumaat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kesemua mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dari Siem Reap, Kemboja sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kejayaan membawa pulang kelima-lima mangsa sindiket itu dibuat secara berterusan hasil kerjasama rapat antara pihak kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan kerajaan Kemboja.

“Setakat Jumaat lalu, kita telah merekodkan 453 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

“Daripada bilangan tersebut, seramai 269 orang telah dihantar pulang, manakala 52 orang lagi masih berada di depoh imigresen di negara-negara berkenaaan bagi proses selanjutnya,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di di Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Saifuddin memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengesan 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini.

Dalam perkembangan yang berasingan, Saifuddin memaklumkan tujuh warganegara Malaysia yang bekerja sebagai pelabur forex di sempadan Kemboja-Vietnam akan dihantar pulang ke tanah air pada Sabtu.

Jelasnya, urusan membawa pulang kesemua individu itu menerusi kerjasama kerajaan negeri Johor.

Bagaimanapun katanya, kumpulan ini tidak boleh dikategorikan sebagai mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan.

“Kesemua mereka bekerja secara sukarela dan bebas untuk keluar masuk dari kawasan tempat kerja,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Saifuddin menasihatkan supaya warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara supaya mematuhi peraturan sesebuah negara, memastikan kontrak pekerjaan dimeterai dan visa pekerjaan diperoleh terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke negara destinasi.