KUALA LUMPUR, 29 Okt – PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) bersepakat untuk menawarkan sebuah kerajaan yang bersih dan stabil kepada rakyat melalui kepimpinan yang berintegriti.

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, komitmen tersebut dibuktikan dengan menapis semua latar belakang calon yang akan mewakili PN dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Jelasnya, setiap calon wajib mendapat pengesahan Majlis Syura Ulama, berbaiah (janji setia) dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak mengkhianati amanah sebagai pemimpin.

“Rekod bersih pentadbiran di tiga negeri bawah pimpinan Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta beberapa kementerian membuktikan Pas mampu mewujudkan kepimpinan yang prihatin pada rakyat dan bersih daripada rasuah.

“Justeru, saya menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan kepercayaan kepada Perikatan Nasional untuk mentadbir Malaysia dengan mengundi calon kami dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November nanti demi sebuah negara yang bersih dan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.