KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kerajaan perlu memberi fokus kepada aset pertahanan negara yang kini dilihat usang hingga menimbulkan jurang ketara antara aset ketahanan negara-negara jiran.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, rakyat khususnya Sarawak bimbang apabila mengetahui berkenaan jarak perbelanjaan keselamatan negara tersebut.

Menurut beliau, tindakan segera perlu dilakukan untuk mengatasi jurang tersebut memandangkan tahap kebolehupayaan aset ketenteraan negara tidak memuaskan, ini bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

“Jiran kita Indonesia, dilaporkan berbelanja sehingga dolar Amerika Syarikat (USD) 125 bilion dalam pelan modernisasi ketenteraan mereka. Thailand, di sebalik kemelut pandemik Covid-19 juga membelanjakan hingga USD 7 billion setahun secara purata bagi lima tahun ke belakang bagi perolehan ketenteraan. Vietnam yang pada suatu masa jauh ketinggalan di belakang Malaysia, kini mampu berbelanja sehingga USD 5.5 bilion bagi peruntukan keselamatan negara.

“Sekiranya kita ingin bersaing dan memastikan keselamatan serta kedaulatan negara, termasuklah Sabah dan Sarawak terjaga, kita seharusnya berupaya memperuntukkan dan memberi keutamaan kepada pembaharuan aset-aset usang negara,” katanya di dalam satu kenyataan.

Jaziri Alkaf berkata, insiden-insiden yang berlaku ancaman melibatkan kedaulatan negara sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat menandakan fokus penuh perlu diberi kepada keselamatan negara.

“Pencerobohan berterusan daripada pelbagai pihak termasuklah negara-negara tuntutan bertindih dan tidak kurangnya negara seperti China di Laut China Selatan. Penemuan serpihan roket di Sarawak serta risiko ancaman berterusan ekoran pencerobohan ruang udara Malaysia Timur menimbulkan lebih kegusaran bagi rakyat Sabah berkenaan isu keselamatan negara.

“Saya beranggapan bahawa tumpuan dan bajet khusus harus diperuntukkan bagi memastikan isu ini tidak menjadi sistemik dan memberi implikasi negatif kepada negara, khususnya rakyat Sarawak.

“Kami tidak mahu ‘lip-service’ atau pernyataan semberono oleh mana-mana pihak, apa kami ingin lihat adalah tindakan pantas oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertahanan dalam perkara ini,” katanya.

Tambahnya, menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semua parti perlu menekankan dan mengetengahkan agenda keselamatan serta kedaulatan negara terutamanya Sarawak.

“Terutama daripada sudut aset ketenteraan haruslah diambil serius dan diambil kira. Malaysia sewajarnya mengambil langkah persediaan yang lebih rapi ekoran krisis geopolitik kini kian memuncak kini, perkara ini dibuktikan melalui konflik Russia-Ukraine,” jelasnya.