KOTA BHARU, 30 Okt – PAS mahu BERSATU membawa sekurang-kurangnya lima peratus penyokong UMNO bagi mencapai kemenangan di Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, parti itu menaruh keyakinan tinggi kepada jentera BERSATU untuk menarik sokongan selepas penyandang kerusi Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed bertanding menggunakan simbol bulan.

“Kita mengharapkan BERSATU boleh bawa penyokong-penyokong UMNO paling kurang lima peratus untuk mencapai kemenangan di parlimen.

“Insya-Allah dengan kemampuan dan kekuatan yang ada, kita yakin Parlimen Jeli akan kekal milik Tok Pa,” katanya pada sidang media tarikh pengumuman calon PRU15 di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan di sini hari ini.

Wan Roslan berkata, sehubungan itu jentera mantap sudah dibentuk bagi memastikan kerusi ini menjadi milik Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kerjasama antara jentera PAS dan BERSATU ketika ini sudah berada pada tahap terbaik.