KUALA LUMPUR, 30 Okt – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, gerakan membawa keluar BERSATU daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020, dimulakan sendiri oleh bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mendakwa bagaimanapun Dr Mahathir membuat pusingan U di saat akhir, apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuarat pada 21 Februari 2020 mengambil keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Jelasnya, usaha membawa keluar BERSATU itu digerakkan susulan tindakan beberapa pihak dalam PH yang mendesak Dr Mahathir agar berundur bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kekal di dalam PH, tetapi MPT hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya.

“Keputusan ini dibuat kerana memikirkan BERSATU semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH, terutamanya DAP, yang dilihat gagal menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Dalam dua pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, calon BERSATU yang bertanding atas tiket PH kalah. Sokongan pengundi Melayu kepada BERSATU ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi itu dimenangi BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan bersedia merendahkan dirinya apabila meminta pihak yang pernah ‘menikamnya’ bekerjasama pada PRU-15, namun usaha itu gagal apabila Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menolaknya.

Muhyiddin mendakwa, beliau tidak pernah menikam sesiapa dengan keputusannya menerima pencalonan menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir adalah demi menyelamatkan negara.

Katanya, pada pagi 24 Februari 2020, beliau ada menemui Dr Mahathir di kediamannya, namun tidak diberitahu mengenai niat Ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan pada hari berkenaan.

“Hanya selepas pulang, saya menerima surat Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi BERSATU, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan. Pada masa sama, surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri juga dihantar ke Istana Negara.

“Dr Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan kerana pada masa itu ada 138 Akuan Bersumpah (SD) Ahli Parlimen BERSATU, PKR, PAS, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawk (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan WARISAN yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Malah, saya adalah antara Ahli Parlimen yang menandatangani SD untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. Maksudnya, walaupun BERSATU keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Dr Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata, peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU menyebabkan beliau terpaksa mempengerusikan mesyuarat khas MPT BERSATU, yang kemudian sebulat suara membuat keputusan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Katanya, bagaimanapun PAS dan UMNO mencadangkan supaya beliau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri, namun terpaksa ditolak kerana keputusan parti ialah menyokong Dr Mahathir.

“Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Dr Mahathir.

“Malangnya, Dr Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Sebahagian besar Ahli Parlimen yang menandatangani SD menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum itu, telah menarik balik sokongan kepadanya.

“Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri. Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.