IPOH, 30 Okt – Ahli parti tidak sewajarnya membuat ugutan untuk keluar parti atau bertanding tiket Bebas sekiranya tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan seumpama itu tidak selari dengan perjuangan parti dan sama sekali tidak mencerminkan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Menurutnya, keputusan agihan kerusi dan calon adalah perkara yang telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi setiap parti.

“Bila kita menjadi sebahagian anggota parti, keputusan untuk meletakkan calon ini adalah keputusan parti dan kita sebagai mereka yang mendukung perjuangan mestilah mengikut keputusan yang sudah dibuat.

“Kalau ada kalangan pemimpin yang sanggup meninggalkan parti atau jadi calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan, jelas pemimpin itu hanya berjuang untuk diri sendiri, bukan untuk kepentingan parti yang pernah diwakili,” katanya ketika ditemui pemberita sempena majlis pecah tanah pembinaan Perak Youth Centre Tambun dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa penyandang Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali membayangkan untuk bertanding Bebas sekiranya tidak dicalonkan semula mewakili PN bagi kerusi tersebut.

Kerusi Parlimen Bagan Serai menjadi pertikaian berikutan berlaku kemungkinan kerusi itu ditandingi calon daripada PAS.

Ahmad Faizal berkata, Timbalan Menteri Kesihatan itu tidak pernah menyatakan secara peribadi kepada beliau untuk bertanding atas tiket Bebas.

“Saya tak dengar kata-kata itu dan saya juga tidak mahu beri ulasan mengenai siapa bakal jadi calon di Bagan Serai.

“Saya percaya kalau Datuk Azmi faham bahawa sesiapa juga jadi calon, perlulah kita sokong dan pastikan dapat kejayaan daripada calon yang kita ketengahkan itu,” katanya.

Mengenai spekulasi yang mendakwa Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mahu keluar parti, Ahmad Faizal berkata, perkara itu masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Beliau berharap, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu kekal istiqamah dalam apa juga keadaan dan terus bersama BERSATU dan PN menghadapi PRU15.

“Malam semalam saya tengok dalam WhatsApp group, beliau menjelaskan dan sebutkan bahawa akan taat dan setia kepada Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selaku presiden parti.

“Jadi spekulasi mengatakan beliau nak umum keluar parti itu, saya tak dapat nak pastikan. Sebagai sahabat, saya harap beliau terus bersama-sama parti untuk menghadapi PRU tidak lama lagi ini,” katanya.

Media pada Sabtu melaporkan, Mohd Rafiq akan mengadakan sidang akhbar tergempar yang dijadualkan berlangsung petang ini dipercayai mempunyai kaitan dengan spekulasi keluar daripada BERSATU.

Tindakan itu dipercayai berpunca daripada keputusan PN yang memutuskan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin akan ditandingi calon PAS pada PRU15.