MELAKA, 30 Okt – Tak dinamakan sebagai calon dalam PRU15, Naib Presiden BERSATU, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memutuskan untuk keluar parti.

Rafiq sebelum ini menyasarkan untuk bertanding di Parlimen Tangga Batu, namun ditawarkan kerusi lain yang kemudian ditolaknya.

Rafiq berkata pucuk pimpinan parti pada mulanya menjanjikan kerusi Tangga Batu kepadanya, tetapi Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kemudian menawarkan untuk mencalonkannya di beberapa kerusi alternatif, termasuk Bagan Datuk di Perak.

Bagan Datuk ialah kerusi Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. PH mempertaruhkan bekas naib presiden PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di situ.

“Saya berasa sedih apabila segala usaha dan khidmat bakti saya di Tangga Batu selama lebih enam tahun tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata ia bertentangan dengan kelaziman politik di mana pemimpin tertinggi akan dipilih untuk menjadi calon di kawasan yang dipimpin mereka.

Rafiq berkata beliau tidak akan bertanding pada PRU15 sebagai calon Bebas mahupun untuk mana-mana parti.

Sebaliknya, katanya lagi, dia akan terus berkhidmat di Tangga Batu melalui NGO.