PUTRAJAYA, 30 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang dalam proses membuat pindaan terhadap peraturan membabitkan operasi taman asuhan kanak-kanak (taska) untuk menambahbaik dasar dan peraturan sedia ada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata ketika ini ada beberapa penambahbaikan yang sedang diusahakan antaranya, syarat kelayakan pengusaha taska, selain peraturan yang mewajibkan perjumpaan pengusaha dengan ibu bapa.

Katanya, kementerian itu juga melihat mewajibkan penggunaan buku log serta beberapa lagi penambahbaikan termasuk pekerja diambil mempunyai sijil kemahiran yang boleh diiktiraf.

“Sebenarnya untuk menjaga kanak-kanak ini ia memerlukan kursus untuk menjamin keselamatan dan perkembangan diri kanak-kanak apabila mereka membesar.

“Kita sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan aplikasi pemantauan keselamatan anak (apps Littlelives) di taska kepada 22 pengusaha taska di Sepang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rina berkata pihaknya berhasrat menyelaraskan keperluan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya lebih seragam di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk memudahkan penyelarasan.

Katanya, ketika ini setiap PBT mengenakan syarat yang berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri lain.

Dengan penyelarasan itu kelak, beliau berkata, ia akan memudahkan penubuhan sesebuah taska.

Beliau berkata, pembukaan sesebuah taska memerlukan kelulusan banyak pihak termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan kanak-kanak yang menghadirinya selamat.

Selain itu, Rina berkata, KPWKM juga menggalakkan lebih banyak taska diwujudkan di premis kerajaan serta melihat pemberian insentif terhadap majikan yang membuka taska di tempat kerja untuk memudahkan pekerja masing-masing menghantar anak mereka.

Turut digalakkan adalah lebih banyak taska khusus untuk kanak-kanak dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Rina berkata, sumbangan langganan Apps Littlelives selama setahun kepada 22 taska di Sepang bertujuan membolehkan ibu bapa memantau tahap keselamatan anak masing-masing ketika berada di taska.

Beliau berkata, pengusaha taska juga boleh mendigitalkan proses perkhidmatannya.

“Ini antara usaha yang kita jalankan. Semua yang layak dalam daerah Sepang kita berikan aplikasi ini. Ia membabitkan taska yang menjaga lebih 15 kanak-kanak,” katanya.