KUALA LUMPUR, 30 Okt – Tujuan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukan untuk kepentingan peribadi tetapi adalah untuk memastikan Malaysia mampu mengharungi keadaan kritikal akibat kegawatan ekonomi global akibat pandemik Covid-19.

Itu penegasan Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekaligus menafikan dakwaan segelintir pihak berhubung tujuan penubuhan MPN.

Jelas Muhyiddin, MPN ditubuhkan dan dipengerusikan sendiri olehnya sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri lagi dan bukannya selepas beliau tidak lagi menerajui negara.

“Kalau masih ingat pada masa itu, negara berhadapan pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara sehingga ke satu peringkat di mana kita terpaksa mengeluarkan sejumlah peruntukan besar untuk menyokong sektor perniagaan dan sebagainya.

“Semasa masih menjadi Perdana Menteri, saya melihat kita harus turut menguruskan soal ekonomi dan bukan hanya fokus kepada Covid-19 semata-mata.

“Kalau tidak diuruskan sebegitu, ekonomi kita akan turus merudum dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang yang tiada pekerjaan, kilang tutup dan cerita Makcik Kiah tidak boleh berniaga.

“Jadi saya ambil inisiatif untuk memimpin MPN untuk memacu negara mengharungi perjalanan keluar dari pandemik Covid-19. Kita ada melalui beberapa fasa. Dari pertama sampai keempat baru kita keluar dari pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif UtusanTV bersama Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keadaan negara ketika berhadapan pandemik Covid-19 selepas MPN ditubuhkan mula menunjukkan kemajuan lebih-lebih apabila vaksin mula sampai dan banyak kegiatan mula dibenarkan.

Begitupun, jelas beliau, kesan daripada penutupan ekonomi dan pandemik Covid-19 amat luar biasa sehingga menjejaskan pemulihan negara.

Melihat kepada situasi tersebut, Muhyiddin berkata, MPN menjemput banyak pihak termasuk pakar-pakar tempatan, menteri-menteri terpilih, pegawai-pegawai kerajaan yang senior untuk duduk bersama bagi membincangkan langkah mempercepat proses pemulihan ekonomi negara.

“Jadi sedikit sebanyak usaha untuk memulihkan negara telah bermula sewaktu itu, tetapi belum selesai. Bila mana saya tidak lagi memimpin negara sebagai Perdana Menteri, saya fikir MPN tidak boleh diabaikan.

“Walaupun saya tidak menerajui negara, saya minta satu daripada peranan yang boleh dimainkan adalah sebagai meneruskan tugas sebagai Pengerusi MPN supaya dapat teruskan inisaitif memulihkan negara,” katanya.

Mengimbas kembali keadaan ketika pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan oleh Gabenor Bank Negara situasi kritikal negara dalam tempoh tersebut.

“Gabenor Bank Negara memberitahu saya dalam tempoh kemuncak ketika itu, dalam tempoh sebulan saja lagi, jika saya tidak membuka sedikit kegiatan ekonomi, seluruh sistem ekonomi negara akan runtuh.

“Sebab itu dalam mesyuarat-mesyuarat yang saya pimpin, ia melibatkan dua pihak. Satu yang menjaga ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan satu lagi yang menjadi kesihatan (Khairy Jamaluddin),” ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberi peringatan tentang ramalan pakar ekonomi global yang mana keadaan ekonomi dunia pada 2023 akan menjadi lebih buruk berbanding tahun ini.

Ujar Muhyiddin, antara kerisauan yang dizahirkan adalah inflasi yang akan meningkat naik dan menjadi lebih kritikal.

“MPN hanya menasihat, saya tidak ada kuasa eksekutif, keputusan MPN dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan.

“Saya diberitahu kita sudah hantar hampir 90 perakuan, tetapi tidak sampai 20 peratus dilaksanakan.

“Kabinet dah bersetuju tetapi tidak melakukan follow up. Mungkin ada kementerian tidak dapat melaksanakan atas sebab-sebab tertentu seperti peruntukan tidak cukup dan dasar perlu dipinda, jadi kalau tidak buat begitu, tidak ada anjakan untuk melaksana,” katanya.