KUALA LUMPUR, 30 Okt – Meskipun wabak COVID-19 sudah ke tahap endemik dan kesemua sektor ekonomi dibuka semula bagaimanapun ia masih belum dapat dipulihkan seperti sediakala.

Antara terjejas teruk adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melibatkan hampir sejuta syarikat yang menyumbang 34 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Atas dasar itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah membuat akuan supaya moratorium dikembalikan bagi membantu PKS yang berdepan dengan pelbagai masalah memperkukuhkan semula perniagaan mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui, didatangi peniaga yang berterima kasih kepada kerajaan pimpinannya ketika menjadi Perdana Menteri kerana telah memberikan banyak bantuan termasuk moratorium ketika pandemik memuncak.

Malah, katanya, mereka juga mengakui tidak mungkin mampu menyelamatkan perniagaan sekiranya tiada bantuan tersebut dan meminta jasa baik supaya moratorium dikembalikan sekali lagi.

“Banyak syarikat walaupun kita kata boleh buka sekarang, dia tak boleh buka sepenuhnya. Kenapa? Duit? Cash flow? Bayaran pinjaman? Lepas tiada lagi moratorium. Dia kata macam mana nak buat, meniaga baru nak buka.

“Perniagaan itu tak mempunyai keupayaan dari segi sumber kewangan kukuh, pinjaman mudah, cash flow yang agak terganggu sebab isu-isu tertentu. Sebab itu antara perkara yang saya usulkan pada kerajaan dalam perakuan itu ialah moratorium.

“Mesti diberikan (bantuan) macam kita buat dulu. Ramai yang dapat moratorium datang jumpa saya, thank you sir kalau tan sri tak buat dah tutup dah. Tapi dah buka balik semua, orang yang sama datang jumpa saya kata sir i need another round of support,” katanya ketika ditemui UtusanTv, baru-baru ini.

Muhyiddin yang pernah memimpin negara pada tempoh paling sukar sewaktu pandemik COVID-19 melanda menegaskan, kerajaan tidak akan terbeban sekiranya usaha yang bertujuan untuk membantu peniaga kecil itu dijalankan kerana ia ditanggung oleh institusi kewangan swasta.

Katanya, apa yang diperlukan sekarang adalah persetujuan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebelum mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaannya.

“Ini bukan soal kewangan kerajaan yang keluar, ini daripada institusi kewangan swasta, perbankan. Duit siapa keluar, bukan duit kerajaan.

“Laporan daripada semua bank yang beri moratorium semua beri untung besar, dia bagi moratorium bukan dia bagi percuma, bayaran lewat, bank ada duit banyak, bayar lambat pun ada bank tutup? Kalau bagi lagi enam bulan saya tak fikir dia tanggung kerugian,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, MPN juga campur tangan di dalam sektor yang paling terkesan iaitu pelancongan susulan masih banyak negara belum membenarkan rakyat mereka keluar merentasi sempadan.

Katanya, hasil pembentangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati negara memerlukan tempoh masa lima tahun untuk pulih sepenuhnya dalam sektor tersebut.

“MPN buat keputusan mintak mereka (MOTAC) teliti semula, buat pelan baru dengan harapan tempoh masa lima tahun itu boleh kurangkan katalah empat tahun.

“China tak boleh buka, banyak pelancong China datang dulu dekat empat juta tapi sekarang seorang pun tak datang tapi ada negara sudah buka. Beralih pergi India sebagai contoh.

“(Pemulihan boleh berlaku dengan contoh) kerajaan bagi bantuan pada hotel, pengecualian cukai atau pun bagi bantuan buat promosi ke luar negara secara agresif. Bagilah RM100 juta macam pernah buat dulu kempen Visit Malaysia Year, fokus area mana-mana, panggil industri penerbangan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan, soal pemulihan negara perlu mendapat campur tangan daripada Perdana Menteri dan Kabinet secara keseluruhannya.

Katanya, sekiranya perkara itu tidak berlaku, maka usaha untuk melihat pemulihan negara selepas dibadai pandemik COVID-19 akan berjalan perlahan.

“Soal pemulihan ini if tak ada intervention hands on by non other than PM (Perdana Menteri) dan Kabinet then pemulihan kita akan lambat. Saya hands on, buat intervention dan saya buat perakuan.

“Dalam MPN pun ramai pakar, mereka ini bukan politik, dalam itu pun ada wakil-wakil politik, bipartisan, it’s no politik, it’s about secepat mana negara boleh pulih. Bukan sahaja pulih tapi meningkat naik pertumbuhannya dan pemulihannya akan lebih cepat lagi,” katanya.