PADANG BESAR, 30 Okt – Perikatan Nasional (PN) mempunyai potensi besar menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berdasarkan momentum sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan.

Pengerusi PN Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim berkata, selain mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji dan Sanglang dari PAS, PN juga yakin memenangi beberapa kerusi lain seperti Titi Tinggi dan Santan, Sena, Kuala Perlis, Indera Kayangan, Pauh dan Kayang.

Dalam masa sama, katanya, PN juga berharap sokongan pengundi muda dan atas pagar bagi menyokong gabungan tersebut sekali gus memberi peluang kepada PN memerintah negeri ini.

“Insya-Allah kita mempunyai potensi untuk menang di Perlis dalam PRU-15. Selain mengekalkan Guar Sanji dan Sanglang, kita memerlukan enam kerusi sahaja lagi (PRU-15) untuk membentuk kerajaan negeri.

“Bagi merealisasikan kemenangan tersebut, kita terus bekerja keras dan mempergiatkan gerak kerja yang berterusan bagi menarik sokongan pengundi menjelang PRU-15,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan kawasan Kubang Perun di sini malam tadi.

PN negeri sebelum ini telah memuktamadkan pembahagian kerusi membabitkan PAS dan BERSATU bagi PRU-15.

Pembahagian tersebut menyaksikan PAS bakal bertanding di sembilan DUN dan dua Parlimen manakala BERSATU enam DUN serta satu Parlimen.

Pengerusi PN Perlis, Mohd. Shukri Ramli dilaporkan berkata, PAS akan meletak calon di Parlimen Arau, Padang Besar, DUN Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong selain mengekalkan Guar Sanji dan Sanglang.

Ujar Mohd. Shukri, BERSATU pula bakal bertanding di Parlimen Kangar serta membabitkan kerusi DUN Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Indera Kayangan, Pauh dan Tambun Tulang.

Sementara itu, mengulas mengenai nama beliau bakal diletakkan di DUN Titi Tinggi selain dikatakan berpotensi besar menang di situ, Ketua Bahagian BERSATU Padang Besar itu berkata, dia menyerahkan kepada para pengundi membuat pilihan.

“Sebagai anak jati Padang Besar dan sudah lama melakukan kerja-kerja mendekati penduduk di sini membuatkan saya amat dekat dengan penduduk di kawasan ini,” katanya.