KLANG, 20 Okt – Komponen Perikatan Nasional (PN) Klang sepakat memilih seorang doktor perubatan, Dr. Jaya Chandran Perumal sebagai calon Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua PAS Klang, Khalid Nayan pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Klang dan sambutan Deepavali di Bilik Gerakan Utama, PN Klang, dekat sini, hari ini.

Menurut beliau, pemilihan Dr. Jaya Chandran yang juga Ketua Bersekutu BERSATU Klang dibuat dengan persetujuan kepimpinan kawasan itu melibatkan PAS dan Parti Gerakan kawasan.

“Walaupun belum menerima watikah pelantikan, tetapi nama Dr. Jaya Chandran ini telah dihantar ke peringkat PN negeri dan pusat serta mendapat persetujuan daripada pimpinan tertinggi parti.

“Kita melihat beliau antara yang layak untuk dicalonkan bertanding melawan calon penyandang dari Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada 19 November ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu, hari ini.

Sementara itu, Dr. Jaya Chandaran, 47, ketika ditanya misi dan visi sekiranya dipilih mewakili PN berkata, beliau akan berkhidmat kepada rakyat dan memastikan segala permasalahan yang mencengkam sejak 15 tahun lalu dapat diselesaikan.

Katanya, beliau juga akan membuka klinik di situ untuk memberi rawatan dengan harga minimum dan percuma kepada golongan B40, termasuk kanak-kanak serta golongan belia.

“Saya sebelum ini bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan berhenti kerana menumpukan tugasan di klinik sendiri.

“Klinik yang saya akan buka di sini tidak lama lagi ini merupakan klinik kelima saya. Saya akan pastikan rakyat Klang akan mendapat rawatan dan menjalani kehidupan yang sihat,” katanya.

Beliau juga berkata, sepanjang Parlimen Klang ditadbir oleh pemimpin DAP dari PH, masih banyak masalah seperti banjir, perparitan dan sosio ekonomi rakyat tidak dijaga dengan baik.

Katanya, beliau akan menamatkan kesengsaraan yang dihadapi rakyat dalam Parlimen Klang sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat pada PRU kali ini.

“Saya juga akan bawa setiap permasalahan rakyat ke Parlimen untuk mendapat perhatian dan pembelaan,” katanya.