KOTA BHARU, 30 Okt – Perikatan Nasional (PN) Kelantan meletakkan sembilan calon PAS dan lima calon BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November depan.

Setiausaha PN Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kesemua calon sedang dimuktamadkan bagi memenuhi 14 kerusi yang disasarkan gabungan itu.

Beliau berkata, setakat ini PN turut meletakkan dua calon wanita, beberapa muka baru dan calon muda.

“Semua calon melepasi tapisan awal dan dipastikan bersih serta berintegrati.

“Mereka juga melepasi kriteria yang dipilih Majlis Syura Ulamak manakala calon Bersatu sudah dipersetujui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sebelum Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 Calon Perikatan Nasional Negeri Kelantan di sini pada Ahad.

Tambahnya, kesemua calon PRU15 akan diumumkan oleh Pengerusi PN negeri, Datuk Ahmad Yakob pada 2 November depan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV jam 8 malam di sini.

Wan Roslan memaklumkan, keputusan sama ada Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan bertanding pada PRU15 masih belum dimuktamadkan.

“Bagaimanapun, kami jangka akan menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen di negeri ini melalui kerjasama jentera PN yang mantap.

“Kami sudah mula bergerak dalam satu pasukan dan nampak satu gelombang baharu bagi memastikan kemenangan gabungan dalam PN.

Wan Roslan yang juga Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri turut yakin PN dapat menawan Parlimen Jeli.

“Kita minta Bersatu membawa sekurang-kurangnya lima peratus penyokong UMNO bagi membantu kemenangan pada PRU15,” katanya.