GOMBAK, 30 Okt – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan mengapa beberapa nama besar yang sebelum ini disebut-sebut mengintai kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akhirnya tidak bertanding di kawasan itu.

Azmin berkata, beliau terbuka menerima sesiapa saja atas faktor demokrasi.

“Saya sendiri tidak faham kenapa ramai berminat bertanding di Gombak hingga ada nama-nama besar mengintai untuk memecah perpaduan rakyat di sini.

“Sesiapa saja boleh datang, nak hantar anak, isteri tetapi pada akhirnya dia bertanding di Perak.

“Apabila tahu siapa calon (pengumuman PKR malam tadi), dia itu tidaklah sebesar mana, masuk ke Gombak kerana dipaksa jadi ‘proksi war’,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) bahagian Gombak di Padang Taman Pinggiran Batu Caves di sini, pada Sabtu.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Yang Dipertua PAS Gombak, Salehuddin Nasir dan Setiausaha Badan Perhubungan PN Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Mohamed Azmin turut menyatakan beliau tidak peduli dituduh pengkhianat, tetapi menegaskan pengundi Gombak tidak lupa tarikh keramat 19 November iaitu hari pengundian PRU15.

“Tarikh itu sangat penting kerana rakyat berada di persimpangan jalan menentukan kerajaan baharu, membuat keputusan besar yang membentuk kerajaan.

“Ia bukan saja pilih pemimpin, tetapi kita mahu memilih kepemimpinan. Rakyat tidak boleh lagi ditipu Barisan Nasional (BN) yang memimpin negara lebih enam dekad dan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya rakyat mahu menguji pemimpin adalah pada waktu ketika berlaku krisis.

“Sebab itu kami di PN menolak PRU15 diadakan kerana paling utama negara sedang dalam pemulihan.

“Namun, disebabkan ketamakan politik, rakyat terpaksa memilih dan perlukah memilih kerajaan yang tergesa-gesa, perlu pandangan orang lain untuk membuat keputusan,” katanya.